Journal No. 1
Posted by Mardiana on May 16, 2008
Salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembaca yang sudi membaca tulisan saya di dalam blog ini. Sebenarnya, tujuan saya membuat blog ini adalah untuk merealisasikan impian saya untuk mencari satu formula perniagaan yang baru khas untuk kaum wanita. Seperti yang kita ketahui, wanita-wanita di seluruh dunia mengalami masalah sama ada ingin terus bekerja atau mengabdikan diri sebagai surirumah sepenuh masa sesudah berkahwin. Perkara ini turut terjadi kepada diri saya. Walaupun pada ketika ini saya belum lagi berkahwin (saya mensasarkan usia saya 30 tahun baru saya akan mendirikan rumahtangga), tetapi saya sudah memikirkan tentang masa depan saya sesudah saya berkahwin kelak. Tentu ramai di antara kita yang bersetuju bahawa kita tidak sanggup meninggalkan anak-anak kita membesar tanpa adanya kita di sisi mereka. Kita ingin melihat mereka membesar di depan mata kita tetapi kita perlu menimbang semula perkara tersebut memandangkan kita ingin membantu suami kita mencari nafkah bagi menampung kehidupan keluarga kita.
Di sinilah timbulnya niat untuk mencari pekerjaan yang boleh kita lakukan dari rumah atau lebih dikenali sebagai Home Based Business. Mungkin di negara barat perkara ini sudah menjadi satu perkara yang biasa, tetapi bukan di Malaysia. Oleh kerana itu, saya ingin mencuba teknik ini dan mencari satu alternatif untuk melaksanakannya. Melalui blog ini, saya akan menceritakan tentang perjalanan perjuangan saya dengan harapan agar lebih ramai lagi wanita yang akan mengikuti jejak langkah saya. Ini adalah bersesuaian dengan Falsafah Hidup saya iaitu 3K iaitu Keluarga, Kesihatan dan Kerjaya. Tanpa keluarga yang bahagia, kesihatan dan kerjaya kita pasti akan terjejas, dan tanpa keluarga yang bahagia juga, kehidupan kita pasti tidak akan bererti.